|
Masalah
cirit birit (diarea) selalunya dikenal pasti melalui peningkatan
kekerapan membuang najis yang lembut dan berair dalam tempoh yang
singkat. Kekerapan pembuangan najis berbeza di kalangan individu.
Terdapat individu yang membuang air besar sekali dalam tempoh dua hingga
tiga hari. Ada laporan yang mencatat berat normal najis sehari lebih
kurang 100 hingga 150 gram. Jika beratnya mencapai 200 hingga 300 gram
(atau lebih daripada 200ml/hari), ini dianggap sebagai cirit birit.
Faktor
utama yang menyebabkan berlaku cirit-birit ialah pengumpulan air pada
bahagian usus. Kandungan air meningkat kepada 60 hingga 90 peratus. Air
ini sepatutnya diserap semula oleh usus. Cirit-birit berlaku apabila
faktor-faktor tertentu mengganggu keupayaan usus untuk menyerap air dan
garam mineral daripada najis. Kadangkala najis tersebut berdarah,
bernanah dan berlendir.
Cirit-birit sering dilihat dan dirawat
sebagai masalah gastrousus (sistem penghadzaman) yang tidak serius dan
sementara. Lebih daripada 50 jenis penyakit termasuk penyaki-penyakit
kronik seperti buah pinggang, jantung, hati kelenjar tiroid dan AIDS
akan menyebabkan masalah cirit-birit. Selain itu, pelbagai jenis ubat
boleh menyebabkan kesan sampingan cirit-birit. Cirit-birit juga sering
dikaitkan sebagai tanda penyakit yang utama.
Usus besar manusia
mempunyai dua fungsi, penyerapan dan penyimpanan. Di bahagian
penyimpanan, usus menyimpan bahan-bahan buangan yang dikenali sebagai
najis. Najis ini terdiri daripada 75 peratus air dan 25 peratus
bahan-bahan lain seperti makanan yang tidak dapat diserap, sel-sel tubuh
yang telah mati, kuman bakteria, bahan garam mineral yang tidak diserap
dan dalam kuantiti yang kecil. Dalam saluran usus, kuman bakteria
menghasilkan vitmain dan bahan kimia yang dikenali sebagai ammonia.
Kuman
yang sering berada dalam kawasan usus dikenali sebagai Bakteroides dan
Laktobasilus. Selain itu, terdapat juga jenis bakteria yang dipanggil
sebagai Escherichia coli, Streptococus Clostridium dan juga kulat yang
tinggal dalam usus besar manusia. Kuman-kuman ini akan menjadi merbahaya
apabila jumlah mereka mengganda tanpa kawalan. Di antara faktor yang
boleh merubah atau mempengaruhi jumlah kuman-kuman ini ialah jenis
pemakanan, tahap keasidan bahagian usus, penyakit gastrousus dan
ubat-ubatan seperti antibiotik.
Bagaimana cirit-birit boleh berlaku?
Ciritt-birit
berlaku akibat pelbagai perkara, menyebabkan pihak perubatan sukar
untuk mengenal pasti punca masalah tersebut. Ia memerlukan sejarah
pesakit, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal yang rapi. Punca masalah
ciri-birit boleh berlaku akibat masalah psikogenik (ketegangan emosi dan
kerisauan), neurogenik (gangguan sistem saraf), selepas pembedahan,
gangguan sistem kelenjar (edokdrin), rengsaan, osmotik, pemakanan,
alahan, masalah penyerapan makanan dan garam mineral, jangkitan serta
radangan.
Jadual 1: Kandungan Garam Mineral dan Air Dalam Najis Normal
Berbanding Dengan Ciri-Birit
KOMPONEN
|
CIRIT-BIRIT
|
NORMAL
|
Bikarbonat (mEq per
liter)
|
30
|
30-45
|
Klorida (mEq per
liter)
|
15
|
20-40
|
Kalium (mEq per
liter)
|
90
|
35-60
|
Natrium (mEq per
liter)
|
40
|
25-50
|
Air (mEq
per 24 jam)
|
0.1-0.2
|
3-10
|
Jenis-jenis masalah cirit-birit
Terdapat dua jenis utama masalah cirit-birit akut dan kronik
Cirit-birit akut
Cirit-birit
jenis ini ditunjukkan dengan kejadian cirit-birit secara tiba-tiba.
Najis yang dihasilkan lembut dan berair, perut yang 'berangin' atau
bergas (flatulens), kesakitan dan individu mengalami demam dan
muntah-muntah.
Cirit-birit akut mungkin disebabkan oleh
jangkitan, keracunan (toksin), kesan sampingan ubat atau jenis makanan.
Sesetengah penyakit boleh menyebabkan cirit-birit. Cirit-birit yang
berpunca daripada jangkitan kebiasaannya disebabkan oleh kuman virus.
i. Cirit-birit disebabkan kuman bakteria
Kebiasaannya,
kuman bakteria yang sering menyebabkan cirit-birit akut ialah E. coli,
Shigella, Camphylobacter dan Staphylococuc. Sebahagian kuman ini
menghasilkan racun (toxin) yang menyebabkan cirit-birit. Bahagian usus
yang terbabit ialah usus kecil. Antara tanda-tandanya ialah pembuangan
najis berair yang banyak secara tiba-tiba, rasa mual, muntah, kekejangan
di bahagian perut (perut) dan kadangkala mengalami demam.
Jika
usus besar terbabit, individu akan mengalami demam, kekejangan di
bahagian perut (perut), rasa ketegangan dan kerap kali menghasilkan
najis berdarah dan bernanah. Individu yang termakan racun oleh kuman
Staphylococos akan menerima kesannya dalam tempoh satu hingga dua jam,
dan 12 hingga 24 jam jika racun itu dihasilkan oleh bakteria Salmonella.
Kesan-kesan lain ialah demam, lesu, sakit otot, pedih pada bahagian ulu
hati dan masalah anoreksia yang teruk. Individu yang dijangkiti oleh
kuman virus, sering merasa sakit yang teruk pada bahagian atas pusat dan
muntah-muntah dalam tempoh dua hingga tiga hari sebelum masalah ini
mulai reda.
Cirit-birit yang boleh disebabkan oleh kuman bakteria
campylobacter jejuni yang memakan masa satu minggu. Rawatan bantuan
sudah memadai tetapi jika tidak berkesan antibiotik eritromisin perlu
diberikan. Selain itu, bakteria Ysrsinia enterocolitica turut
menyebabkan cirit-birit. Masalah ini berlarutan selama satu hingga tiga
minggu dan akan reda sendiri. Pesakit hanya memerlukan rawatan sokongan
tanpa ubat antibiotik.
Cirit-birit akibat jangkitan hanya perlu
dirawat dengan memberikan air yang secukupnya dan garam mineral bagi
menggantikan jumlah air yang telah hilang melalui pembuangan najis
berair yang kerap. Dalam kebanyakan kes, masalah akan reda dengan
sendiri dan fungsi saluran pemakanan (usus) akan pulih tanpa atau dengan
rawatan dalam tempoh 24 hingga 48 jam. Antibiotik hanya digunakan
apabila cirit-birit terus berlaku dalam tempoh yang lebih lama walaupun
rawatan sokongan telah diberikan kepada pesakit.
ii Cirit-birit akibat kuman virus
Bayi
dan kanak-kanak sering mengalami masalah cirit-birit. Puncanya sukar
dikenal pasti walaupun dalam kebanyakan kes disebabkan oleh kuman virus.
Kuman virus yang sering menjangkiti kanak-kanak ialah rotavirus.
Kanak-kanak akan mengalami kesan jangkitan dalam tempoh 12 hingga 48
jam. Mereka akan mengalami cirit-birit, muntah-muntah dan demam. Namun
cirit-birit tersebut akan reda dengan sendiri dalam tempoh lima hingga
lapan hari. Manakala individu hanya perlu diberikan rawatan sokongan
sahaja. Kajian membuktikan bahawa susu ibu mampu mencegah bayi daripada
mengalami cirit-birit.
Cirit-birit yang akut pada kanak-kanak
terutamanya bayi boleh membahayakan kesihatan mereka akibat
ketidakseimbangan garam mineral dalam tubuh dan kekurangan air yang
teruk. Kekerapan cirit-birit sebanyak lapan hingga 10 kali sehari bagi
bayi berumur dua bulan boleh menyebabkan kehilangan cecair dalam badan
yang serius sehingga mengakibatkan kegagalan fungsi buah pinggang dan
fungsi jantung serta gangguan peredaran darah. Bagi kanak-kanak, masalah
cirit-birit adalah serius dan perlu pemerhatian doktor.
iii Cirit-birit diakibatkan oleh protozoa
Cirit-birit
yang akut boleh juga disebabkan oleh organisma protozoa yang dikenali
sebagai Giardia lamblia dan Entamoeba histolytica. Protozoa Giardiasis
sering menjangkiti kanak-kanak, pelancong yang melancong ke kawasan atau
negara bercuaca panas (tropika dan subtropika) serta pesakit-pesakit
yang berada dalam wad hospital. Selepas satu hingga tiga hari jangkitan,
individu akan mendapat cirit-birit dan kekejangan di bahagian perut.
Organisma
protozoa Entamoeba histolytica selalu berada dalam kawasan yang
mempunyai sistem pembuangan najis yang tidak bersih dan sempurna dan
menjangkiti pesakit-pesakit yang berada di dalam hospital, pelancong dan
pekerja-pekerja atau buruh asing (luar negara). Mereka akan mengalami
kekejangan pada bahagian perut yang teruk dan cirit-birit selama tiga
hingga 10 hari. Rawatan yang sesuai bagi kedua-dua jenis jangkitan oleh
protozoa ialah ubat antibiotik Metronidazole.
iv Cirit-birit yang diakibatkan oleh ubat
Terdapat
ubat-ubat di dalam pasaran yang boleh mengakibatkan kesan sampingan
cirit-birit. Individu yang menggunakan ubat-ubat tertentu untuk penyakit
yang lain dan mendapat kesan sampingan cirit-birit. Kebanyakan daripada
ubat antibiotik boleh menghasilkan kesan sampingan ini pada kebanyakan
individu. Di antara ubat antibiotik tersebut ialah ampisilin,
klindamisin, eritromisin, linkomisin, neomisin,
triometoprim-sulfametoksazol, tetratsiklin dan sefalosporin.
Kesan
sampingan tersebut berlaku kerana ubat yang digunakan menyebabkan kuman
bakteria dan kulat yang ada dalam tubuh rintang atau dalam kata lain
antibiotik tersebut tidak berkesan terhadap kuman-kuman tersebut.
Akibatnya, kuman-kuman tersebut membiak dengan banyak dan ada di antara
bakteria yang menghasilkan racun atau toksin. Antara kuman bakteria yang
sedia ada dalam usus dan membiak apabila individu berkenaan memakan
antibiotik ialah staphylococcus aureus, Pseudomonas aeruginosa,
Streptococcus faecalis, Canadida albicans, kumpulan Salmonella dan
Proteus.
Kesan sampingan ubat ini boleh reda dengan sendiri
apabila ubat yang dimakan diberhentikan. Namun, individu dinasihatkan
supaya menghubungi doktor atau ahli farmasi dengan segera apabila
menghadapi kesan sampingan ubat tersebut. Doktor atau ahli farmasi juga
patut menasihati pesakit berkaitan kesan samping cirit-birit yang
mungkin akan dialami oleh individu apabila memakan sesuatu ubat.
Penggunaan
antibiotik yang berpanjangan boleh menyebabkan pertumbuhan kuman
bakteria Clostridium difficile. Ia akan menghasilkan racun yang boleh
membawa maut jika masalah ini tidak ditangani dengan segera. Selain
turut mengakibatkan radang pada bahagian usus kecil dan besar yang
dikenali sebagai Pseudomembraneus colitis (PMC). Ini mudah berlaku pada
warga tua. Individu akan mengalami cirit-birit yang sangat serius dan
berpanjagan. Antara rawatan yang berkesan ialah dengan pemberian ubat
antibiotik eritromisin, tetrasiklin, kumpulan sefalosporin, cankomisin
dan metronidazol.
Kumpulan ubat lain yang boleh mengakibatkan
kesan sampingan ialah seperti ubat untuk masalah sembelit, antasid, ubat
darah tinggi, ubat kanser, ubat malaria dan ubat gout. |
|
No comments:
Post a Comment